[VIDEO] ‘Malu Perangai Orang Kita Suka Mengec4m’

Selepas mempamerkan prestasi hambar di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang baru-baru ini, atlet papan selaju, Fatin Syahirah Roszizi teruk dihentam ramai pihak yang merasakan dia tidak layak bertanding di pentas kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik itu.

Sejurus tamat acara akhir street, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian, Kajang itu dikritik hebat dalam media sosial hingga mendapat perhatian legenda papan selaju dunia Tony Hawk kerana gagal memberikan cabaran terhadap tujuh peserta lain.

Video Fatin Syahirah beraksi dalam acara papan selaju wanita itu menjadi tular dan dikecam sehingga mendorong atlet itu memadam semua gambar di Instagram selain turut memuat naik kapsyen memohon maaf atas kegagalannya.

Bagaimanapun, anak kepada pemandu teksi dan kerani ini tampil menjelaskan prestasinya di pentas antarabangsa itu berikutan faktor kecederaan selain berdebar apabila dipilih buat pertama kali mewakili negara.

Ikuti luahan perasaan remaja berusia 16 tahun ini ketika ditemui di Kompleks Sukan Bukit Kiara kepada wartawan Suraya Roslan.

FATIN Syahirah ketika sesi latihan di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara. FOTO Luqman Hakim Zubir

Boleh Fatin ceritakan bagaimana pembabitan awal dalam sukan papan selaju?

Ketika sekolah rendah saya ramai kawan lelaki dan aktif bermain papan selaju jari (fingerboard). Selepas itu baru berjinak dengan papan selaju. Penghujung tahun ketika tahun enam, dekat taman sebelah sekolah selepas kokurikulum saya teringin nak cuba sukan ekstrem ini.

Apabila tanya ayah untuk beli papan selaju dia setuju dan bermula daripada situ saya aktif. Ketika tingkatan dua, saya dapat tajaan walaupun kadang-kadang rasa putus asa dan marah untuk meneruskan sukan ini. Tetapi saya tidak boleh berhenti sebab sudah ada tajaan.

Ketika persediaan Sukan Asia, balik sekolah terus saja saya ke skatepark pada bulan puasa untuk latihan berikutan latihan di sini (Kompleks Sukan Bukit Kiara) masih belum mula, jadi saya buat latihan di Skatepark Sungai Kantan, Kajang tengah panas. Ramai tidak faham, saya guna duit sendiri ditambah bulan puasa ketika itu.

Pencapaian Fatin dalam sukan ini dalam tempoh tiga tahun

Sekitar 2015 atau 2016 saya mendapat tempat kedua dalam Kejohanan Sukan Ekstrem Malaysia manakala pada tahun lalu tempat pertama. Kejohanan ini juga pengukur untuk pemilihan di Sukan Asia.

Bagaimana Fatin terpilih ke Sukan Asia, betul ke pendapat ramai mengatakan Fatin pakai ‘kabel’?

Saya terpilih melalui pemilihan di Skatepark Bukit Kiara hujung 2017. Ketika itu hanya tiga orang wanita saja masuk (sesi pemilihan).

Saya ada ajak ramai tapi mereka cakap malu dan tidak mahu.

Sebelum pemilihan berlangsung, kaki terseliuh dan saya hanya makan ubat tahan sakit dan main seperti biasa dan memenangi tempat pertama.

Sebelum itu juga, setiap kejohanan di mana-mana pun memang saya menang, bukan nak cakap saya top tapi memang tak ramai (perempuan) pun.

Siapa lagi dalam pemilihan ke Sukan Asia?

Sebenarnya saya tidak mahu pergi ke pemilihan itu, tetapi ketua jurulatih pasukan Malaysia hubungi saya minta datang dan cakap mungkin ada rezeki.

Tiga yang datang, saya dan Christina (Lai Grace) terpilih ke Sukan Asia.

Boleh Fatin ulas kenapa prestasi hambar di Sukan Asia, adakah kerana berdebar?

Sebelum kejohanan, pagi itu saya dah cakap kat team mate macam mana kalau tak boleh land (mendarat papan selaju) apa-apa, mereka beritahu tidak mengapa buat yang terbaik. Mungkin saya terlalu berfikir. Selepas melihat Christina jatuh ketika sesi panas badan dan perlu dibawa ke hospital, jadi saya lari fokus berikutan risaukan dia.

Boleh beritahu apa berlaku di Palembang?

Sebelum saya beraksi, peserta Filipina dan Jepun mula dulu, mereka memang power. Bila tengok aksi mereka buat saya panik. Lebih-lebih lagi ini adalah kejohanan besar dan ada penonton, sebelum ini mana ada (penonton) dalam kejohanan biasa.

Saya terlampau memikirkan dan berdebar. Dua hari sebelum game berlangsung saya luka di kaki, impak itu boleh rasa bila berjalan.

Macam mana Fatin nak tutup mulut orang cakap tidak layak ke sana?

Sukan Asia adalah temasya sukan besar. Sebelum ini di Malaysia pun beberapa orang saja perempuan (memasuki pertandingan), jadi sangat lain. Kalau orang kata ini sukan besar mana boleh berdebar, cubalah buat tengok macam mana.

Adakah prestasi di Sukan Asia ada kena mengena dengan kecederaan sebelum ini?

Awal Julai lalu sebelum Sukan Asia memang ada terseliuh dan buat pemeriksaan, doktor cakap ligamen saya tidak kuat dan kena pergi gimnasium, tetapi saya tidak sempat. Saya sempat buat latihan sebulan saja.

Apabila lihat ramai netizen mengutuk Fatin di laman media sosial, apa perasaan ketika itu?

Saya akui sangat down sebab tidak tahu pula jadi macam ini, saya padam semua gambar dalam Instagram.

Saya akui tidak mahu orang komen. Ramai DM (mesej langsung) supaya saya tidak putus asa dan jangan berhenti meluncur.

Pasukan saya banyak menenangkan, sebab saya faham yang kecam ini bukan faham pun dan bukan main skateboard. Ada juga menangis dalam bilik lepas kena kecam, tapi tidak lama, sebaik tiba di Malaysia, saya pergi ke ISN (Institut Sukan Negara) dan buka Facebook sebab tidak tahan nak tahu (apa orang komen), lepas baca rasa kecewa sangat dan terus menangis. Sehinggalah penaja saya beri sokongan dan minta supaya jangan baca komen.

Adakah pemilihan Fatin ke Sukan Asia semata-mata tangkap muat?

Bagi saya, saya memang perlu banyak latihan lagi sebab pernah jumpa Margielyn Didal (atlet Filipina) dan tahu tahap mereka, tetapi saya tidak sempat latihan. Saya tahu markah dapat sikit sangat. Disebabkan itu saya cuba juga untuk kejar dan land sesuatu, dapatlah juga markah sedikit daripada kosong. Tapi saya rasa bersalah kerana tidak buat yang terbaik.

Apa Fatin nak cakap kepada yang kecam?

Saya nak mereka cuba tengok macam mana (main papan selaju), ada seorang kakak tu cakap, budak taman dia lagi elok main daripada saya, jadi saya nak tengok juga.

Wajar ke orang menilai prestasi Fatin berdasarkan video yang hanya beberapa saat saja dan juga cedera ketika itu?

Tidak wajar, saya akan cuba buktikan kepada mereka saya boleh. Tidak pernah terfikir untuk berhenti dalam sukan ini, namun saya geram dan akan tunjuk yang saya boleh.

Ada rasa bersalah tak kepada rakyat Malaysia?

Rasa bersalah tetapi bukan kepada yang kecam saya.

Apabila Tony Hawk (legenda papan selaju profesional Amerika) turut mempertahankan Fatin daripada dikecam, apa perasaan ketika itu?

Saya rasa terharu, tetapi rasa malu juga orang luar sudah tahu perangai orang kita suka mengecam. Komen dia menaikkan semangat, saya ada baca komen kecam dan sebut Tony Hawk, padahal dia mempertahankan saya, mungkin sebab dia faham sukan ini.

Fatin setuju jika dikatakan antara atlet papan selaju wanita terbaik di Malaysia?

Sebab tiada orang lain dah, yang tidak main takkan faham. Sukan ini bukan kaki saja, tetapi minda, kalau berdebar memang kacau habis, saya setuju kalau orang cakap 60 peratus komitmen manakala 40 peratus lagi adalah tuah.

Apa antara kesusahan Fatin untuk berjaya dalam sukan ini?

Ayah saya pemandu teksi, kadang-kadang dia tiada duit nak bagi saya untuk pergi skatepark. Saya sedih, tetapi kasihan dekat dia, dan perlu pergi latihan untuk memperbaiki diri. Ayah kadang-kadang teman di skatepark sampai Maghrib, sebab risau apa jadi. Kawan sekolah kadang-kadang bagi pinjam duit untuk pergi skatepark dan emak yang banyak belikan peralatan papan selaju, bukan senang nak sampai tahap ini. Rasa bersalah kepada emak ayah, sebab mereka pergi ke sana (Palembang) pakai duit sendiri, dan saya tidak dapat buat terbaik.

Fatin baru berusia 16 tahun dan perjalanan karier Fatin masih jauh, apa yang diharapkan?

Apa saya harapkan nak memperbaiki lagi mutu permainan, bukan saya tidak boleh main tetapi sebab berdebar sangat. Kalau layak lagi selepas ini akan buat terbaik.

Apa ucapan Fatin kepada rakyat Malaysia?

Terima kasih yang sokong saya, saya akan cuba balas komen dan DM semua, yang kecam saya akan cuba buktikan boleh buat.

VIDEO :

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di @groupsking

Sumber : hmetro

Fbgroupking.COM

 

Facebook Comments

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*